Temuduga: Baju tidak kemas, bau rokok, tidak bersedia
SEBAGAI anak muda dan lepasan universiti, masyarakat memandang tinggi kelompok ini kerana dilihat berpendidikan, segak dan bakal berjaya dalam hidup. Ya, itu dulu, tetapi adakah persepsi itu masih dianggap sama?
Ketua Pegawai Eksekutif Tsoho International, Mohd Hanif Ahmad Sofian, 31, berkongsi pengalamannya menemuduga bakal pekerja dan segelintir mereka dianggap lemah berkomunikasi dan langsung tidak bersedia.
Menurutnya, tidak hanya itu, ada di antara mereka datang dengan tidak berpakaian kemas, berbau asap rokok, selekeh dan mengambil mudah soalan yang diberikan.
“Mereka sengih macam kerang busuk. Ada juga yang menganggap melalui diploma dan ijazah itu, boleh terus minta gaji sesuka hati dan tidak logik walaupun masih lepasan graduan. Boleh siap tanya ‘berapa gaji saya kalau saya diploma macam ni’,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya lagi, ada juga langsung tidak boleh berbahasa Inggeris dan gagap walaupun hanya diminta perkenalkan diri, keluarga dan hobi.
“Segelintir memandang rendah apabila kami menemuduga kerana masih muda. Jika yang datang sebaya kami, bercakap bahasa seperti kawan, aku, kau walau pertama kali berjumpa. Sedangkan proses temuduga sedang dijalankan,” katanya.
Menurut Mohd Hanif, jika ada sikap mereka yang ditemuduga tidak memuaskan hatinya dan boleh mengundang marah, dia hanya diam dan senyum sahaja.
“Saya biarkan mereka bercakap, dan kemudian minta mereka balik dengan mengatakan akan di hubungi jika terpilih. Tak perlu melenting dan terus marah, kerana anak muda memang normal untuk bersifat sebegitu. Kita perlu kawal keadaan dengan baik," katanya.
Mohd Hanif turut berkongsi sikap biadab segelintir anak muda yang sanggup mengutuk di media sosial.
“Saya pernah dikutuk di status Facebook tanpa rasa bersalah oleh anak muda. Walaupun tak di nyatakan secara terang, namun saya tahu siapa yang ditujukan kerana yang like dan komen status itu adalah staf saya sendiri.
“Status Facebook saya pernah diprintscreen oleh staf dan bekas staf dan disebarkan di dalam grup WhatsApp. Mereka mengutuk secara 'berjemaah' sebab tak puas hati, walau hakikatnya saya menjaga mereka dengan baik, gaji semua tak pernah diabaikan.
“Apabila perkara ini terbongkar, saya panggil mereka, katakan ini benda yang salah, dan jangan terikut dengan bekas staf yang berhenti dan dibuang kerana masalah prestasi dan disiplin,” luahnya.
Katanya lagi, pekerja biasanya ingin menunjukkan mereka hebat, lebih tahu tambah-tambah lagi berumur lebih tua dari bos atau beza umur yang tidak sampai dua tiga tahun.
Justeru, pengalaman itu menjadikan beliau lebih selektif dengan mengambil pekerja lebih muda dan membuat proses pemilihan setiap bulan supaya syarikat sentiasa bersedia dengan pengganti jika berlaku masalah.
Mohd Hanif juga melakukan ujian personaliti untuk lebih memahami pekerjanya selain memeriksa Facebook dan Twitter mereka ketika temuduga kerana media sosial itu cerminan personaliti dan gaya mereka.
“Jika ada yang buruk atau negatif, saya secara automatik akan tolak,” katanya yang menasihatkan anak-anak muda yang masih mencari pekerjaan supaya tidak terlalu memilih.
Bagi Mohd Hanif, ada kursus yang dipilih graduan langsung tidak sesuai dengan syarat kerja tetapi pihaknya cuba menerima supaya golongan ini mendapat pekerjaan.
“Jika terlalu memilih, saya khuatir anda takkan ke mana, dengan PTPTN, kereta dan komitmen yang perlu dibayar, mereka seharusnya bekerja keras mencari duit, bukannya memilih kerja,” katanya.
Beliau juga menasihatkan bakal pekerja agar mengikut peraturan dan lebih penting ialah menunaikan perkara yang tertulis di resume.
Post a Comment for "Temuduga: Baju tidak kemas, bau rokok, tidak bersedia"
Terima Kasih kerana sudi memberikan komen di halaman ini. Sila berikan komen yang berhemah. Laman ini tidak bertanggungjawab terhadap setiap komen yang ditulis. Sebarang link aktif akan di buang secara automatik. Harap maklum.